Kata-kata Aluan
Kata-kata Aluan Dari Pengarah CENSEi
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, pembawa rahmat kepada seluruh alam.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saya mengalu-alukan kedatangan anda ke laman sesawang rasmi Pusat Alam Sekitar Pintar (Centre for Smart Environment – CENSEi). Terima kasih kerana meluangkan masa untuk melayari platform ini bagi mendapatkan maklumat berkaitan peranan, fungsi serta inisiatif kelestarian yang dilaksanakan oleh CENSEi.
CENSEi merupakan pusat yang bertanggungjawab menerajui agenda kelestarian alam sekitar universiti dengan memberi tumpuan kepada Pengurusan Tenaga Pintar serta pembudayaan amalan hijau dalam persekitaran kampus. Melalui pelbagai program, dasar dan inisiatif, CENSEi komited untuk memperkukuh pembangunan kampus yang mampan serta memupuk kesedaran warga universiti terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Bermula pada 1 Julai 2022, Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) telah melalui proses penstrukturan semula organisasi dan dipisahkan kepada dua entiti yang berbeza. Pejabat Keselamatan Pekerjaan kini ditempatkan di bawah Pejabat Pengurusan Pembangunan, manakala bahagian Kelestarian Alam Sekitar telah dijenamakan semula sebagai Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) dan terus beroperasi sepenuhnya di Kampus Teknologi UTeM.
Walaupun dianggotai oleh seramai 13 orang warga kerja yang terdiri daripada seorang Pengarah, seorang Timbalan Pengarah, dua orang Pengurus, empat orang Penyelaras dan lima orang staf sokongan, CENSEi terus menggalas amanah dalam menerapkan budaya cintakan alam sekitar serta memacu pembangunan Kampus Lestari melalui aktiviti promosi, perkongsian ilmu, pendidikan dan penyebaran maklumat kepada seluruh warga UTeM.
Laman sesawang ini menghimpunkan pelbagai maklumat berkaitan CENSEi termasuk perkhidmatan, program, pencapaian, berita semasa, galeri foto, multimedia serta pelbagai inisiatif kelestarian yang dilaksanakan. Kandungannya akan sentiasa diselenggara dan dikemas kini bagi memastikan maklumat yang disampaikan kekal tepat, relevan dan bermanfaat kepada semua pengunjung.
Saya berharap laman sesawang ini menjadi sumber rujukan yang berguna serta medium komunikasi yang berkesan dalam menyebarkan maklumat berkaitan kelestarian alam sekitar kepada warga UTeM khususnya dan masyarakat umum amnya.
Sekian, terima kasih.




















